Keyakinan di Sebalik Dugaan Allah 26 November 2007 Oleh HAPPIS BASHA ... Wahai jiwaku, Adakah engkau setabah Siti Hajar, Mengendong bayinya yang masih merah, Mencari air penghilang dahaga.. Di terik padang pasir merak, Ditipu dek fatamorgana, Ditinggalkan suami akur tanpa bantah, Mampukah aku menjadi wanita solehah? Mati dalam keunggulan iman... SEPANJANG perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiayai hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Setelah lebih kurang enam bulan perjalanan, maka mereka pun tiba di Mekah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir dan berteduh di sebatang pohon tamar.
Panas terik terus menyelubungi diri. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara untuk memberitahu isterinya tentang perintah Allah s.w.t itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya yang bergegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu: "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu yang masih merah di sini?" Adakah aku berbuat dosa padamu." Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. "Tidak, wahai isteriku, bukan kerana dosamu. Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"
Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih hatinya hanya Allah s.w.t yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah s.w.t."
Apabila disebut ia perintah Allah s.w.t, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah s.w.t, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.
Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan, keyakinan dan pertolongan kepada Allah s.w.t.
Namun, hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah s.w.t itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah s.w.t, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang.
Digambarkan tempat itu kemudiannya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan keesaan Allah s.w.t, Tuhan yang Maha Agung. Teringat akan peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah s.w.t, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan," kata Siti Hajar sambil mengesat air matanya yang berlinangan.
Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah s.w.t. Pasti Dia akan membela kami. Dia tidak akan menganiayai kami yang lemah ini."
"Cuma... doakanlah agar datang pembelaan Allah s.w.t kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan.
Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."
Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya.
Namun, atas keyakinan yang padu pada janji Allah s.w.t, ditunaikan juga perintah Allah s.w.t walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah s.w.t.
Maka, Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah tinggal di padang pasir di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan dan dugaan yang akan berlaku.
Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Kemanakah hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?
Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana.
Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safaa dan Marwah untuk mencari sumber air.
Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.
Tiba-tiba dengan rahmat Allah s.w.t, sedang Siti Hajar mencari-cari air, maka air pun keluar dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu kehendak Allah s.w.t. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.
Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling dicintai Allah s.w.t, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Mekah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.
Sesungguhnya ketabahan perlu ada pada diri seseorang sepertimana ketabahan yang dimilik oleh Siti Hajar. Disebalik dugaan pasti ada tirai yang akan terbuka satu hari nanti kerana Allah s.w.t amat menyayangi "... Kekuatan seorang wanita bukanlah pada kelantangan suara, Tetapi pada kekuatan perasaan, Wanita yang gagah, wanita yang tahan menerima dugaan..." |
....from kekwa22 with love....
No comments:
Post a Comment