Penyebutan dan ingatan kepada Allah (zikrullah) secara terus-terang dengan penuh istiqamah akan membiasakan hati dan jiwa kita untuk sentiasa dekat dan akrab dengan Allah. Secara tidak disedari, kesannya berkait dengan berkembangnya kecintaan yang mendalam terhadap Allah.
Rasulullah saw memberikan perintah berzikir dan memberi contoh berzikir dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Berzikir dengan wirid yang ditentukan Rasulullah dilakukan setiap solat wajib dengan membaca ‘subhanallah, ‘alhamdulillah’ dan ‘allahuakbar’ sebanyak 33 kali.
Pengubatan melalui zikir juga digabungkan dengan pengubatan fizikal, penyucian diri dan aktiviti tertentu, bahkan aktiviti terbabit diikuti pula dengan amalan berzikir. Kaedah zikir dalam Islam mirip aktiviti meditasi dalam Budha dan Hindu.
Proses psikoterapinya dilakukan dengan meditasi untuk membantu proses penyembuhan fizikal dan jiwa. Proses meditasi ini adalah jambatan yang menghubungkan konsep pemahaman kemampuan spiritual dengan ilmu perubatan moden. Ilmu psikiatri moden mengajar bahawa kemampuan manusia tertinggi terletak pada otak yang mengatur fizikal dan mental, sedangkan pengetahuan kerohanian mengajarkan kekuatan kerohanian manusia yang mengatur fikiran dan fizikal dalam otak. Bukan satu kebetulan tindak balas meditasi dan pengalaman keagamaan seperti zikir memiliki sumber yang sama dalam otak.
Oleh kerana itu, zikir adalah saranan sufi untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dari sini muncullah pelbagai kaedah atau tarekat. Kaedah terbabit disandarkan kepada pengasasnya (muassis). Misalnya, Tarekat Naqsyabandiyah disandarkan kepada Khauja Baha’Ad-Din Naqsyabandi (w. 1390), Tarekat Qadariyah disandarkan kepada Muhy’Ad-Din Abd Al-Qadir Al-Jailani (w. 1266), Tarekat Syadziliyyah disandarkan kepada Abu Hasan As-Syadzili serta puluhan tarekat yang lain.
Namun, titik pertemuan mereka berada pada keupayaan untuk sentiasa mengucapkan zikir yang paling utama iaitu kalimah ‘La Ilaha Illa Allah’ (tiada Tuhan selain Allah).
Secara psikologi, mengingati Allah dalam alam kesedaran akan menimbulkan penghayatan akan kehadiran Allah yang sentiasa mengetahui segala tindak-tanduk yang nyata atau yang tersembunyi.
Gangguan kejiwaan pada dasarnya dimulai daripada rasa cemas sedangkan masalah cemas timbul kerana adanya ketakutan terhadap hal-hal yang belum terjadi. Perasaan cemas biasanya muncul apabila kita berasa dalam satu keadaan yang dijangka akan merugikan dan dilihat mengancam diri kita pada saat kita berasa tidak mampu menghadapinya.
Ada pelbagai pendapat dari sudut pandangan psikologi terhadap masalah cemas. Ada yang menyatakan rasa cemas sebagai penyebab utama pelbagai gangguan kejiwaan. Ada juga yang menyatakan cemas sebagai kehampaan dalam hidup kerana mereka tidak berjaya menemui makna dalam kehidupan.
Banyak kaedah terapi yang digunakan oleh ahli perubatan untuk mengatasi rasa cemas. Pendekatan zikir bagi penderita gangguan jiwa adalah sangat berkesan kerana ia akan mengembangkan segala unsur yang mendukung wacana dan dunia psikoterapi Islam. Zikir mengandungi unsur psikoterapeutik yang berkesan, tidak terhad dari sudut kesihatan mental bahkan dari kesihatan fizikal dan seumpamanya.
Dari sudut ilmiah, terbukti zikir mewujudkan komitmen keagamaan seseorang walhal keimanan seseorang adalah kekuatan kerohanian yang dapat dikaji dan dikembangkan untuk mengatasi penyakit atau masalah yang dialami seseorang.
Zikir juga adalah teknik atau kaedah psikoterapi kesufian yang dapat mengubah gejala sosial, jenayah, kecewa dan gangguan mental, menjadi sikap yang terpuji. Sesiapa yang selalu mengingati Allah dalam segala keadaan pasti akan terlepas daripada segala tingkah laku yang jahat dan perbuatan dosa.
Ini kerana dengan berzikir, semakin tebal iman pelaku terbabit, seterusnya mampu mengawal hawa nafsunya sehingga tidak mudah terjerumus ke dalam perbuatan dosa. Zikir dalam tinjauan psikologi memiliki kesan spiritual yang nyata, sebagai penambah keimanan, pengabdian, kejujuran, ketabahan dan kematangan dalam hidup.
Hal ini adalah kaedah yang paling berkesan untuk membentuk dan membina keperibadian yang utuh kerana salah satu tujuan psikoterapi sufi adalah untuk mencapai darjat kehidupan atau akhlak yang lebih baik daripada sebelumnya.
No comments:
Post a Comment